Muhasabah Dalam Mahabbah

Alhamdulillah. Kupanjatkan syukur kepada Allah SWT kerana melimpahkan rahmat kepadaku dan sahabat-sahabat batch 13th Legacy. 131 orang berjaya PASS First Professional Exam sekaligus eligible to proceed to 3rd Years bulan September ni. Namun AWAS, di kala kita berada dalam kegembiraan, jangan sesekali kita lupakan orang lain yang berada dalam kesedihan. Berikanlah semangat dan teruskan berdoa untuk mereka yang belum berjaya agar turut dikurniakan kejayaan. InsyaAllah. 13th Legacy Bersama Selamanya!


Sebagaimana dirancang sejak 1st day study week for pro, selepas result diumumkan, 13th Legacy mengadakan Program Mahabbah 13th Legacy (PM13L) di Pantai Cherating. Seramai 90 orang menyertai PM13L melebihi target awal iaitu 60% daripada batch. Objektif utama program ini ialah untuk bermuhasabah (rujuk sini)  sesama ahli batch sepanjang 2 tahun menempuhi pre-clinical phase di samping mengukuhkan mahabbah antara ahli 13th Legacy.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan”  
[Al-Hashr: 18]

Alhamdulillah. Segala yang dirancang berlangsung dengan jayanya. Cuaca baik mengizinkan segala aktiviti berjalan dengan lancar di "dewan" buatan sendiri. Barbecue [ACAD] sedap hingga menjilat jari, awards [P&I] yang adil dan saksama, muhasabah [ICU] yang menyentuh jiwa dan perasaan, treasure hunt [S&R] yang mencabar dan memenatkan dan tak lupa juga hadiah [ECONS] yang padat dan "bekhasiat". Terima kasih warga 13th Legacy kerana memberikan kerjasama sepenuhnya kepada committee. Terima kasih kepada semua biro kerana bertungkus-lumus berusaha untuk melaksanakan task-task yang diassignkan dengan sebaiknya meskipun dalam tempoh yang teramat singkat.



Dan jutaan terima kasih kepada [WELFARE] members kerana menjadi mastermind untuk PM13L. Pengorbanan masa dan tenaga selama separuh daripada study week for professional exam amat dihargai. Semoga segala penat lelah kalian dalam menjayakan PM13L dikira amal kebaikan dan dikurniakan ganjaran oleh Allah SWT. InsyaAllah.

# Dari Welfare Untuk 13th Legacy #

~Sekadar Contengan~

Muliakanlah Anak Yatim

Sepanjang berada di Kuantan, sudah beberapa kali aku berkesempatan untuk berprogram bersama anak-anak yatim. Yang terbaru ialah pada hari Ahad yang lalu. Seramai 30 orang pelajar tahun 1 & 2, mengadakan program di salah satu rumah kebajikan di sekitar Kuantan, iaitu Rumah Amal Hembusan Kasih Sayang (RAKHS) [ Official Facebook / Official Blog ]. Aktiviti yang dijalankan ialah gotong-royong, membantu adik-adik membuat persediaan untuk peperiksaan pertengan tahun keesokan harinya, sukaneka dan makan tengah hari dalam talam bersama-sama.
Dialog dengan seorang adik ketika makan tengah hari bersama-sama. [credit to Afiq Rohimi]

Afiq: Adik, sedap tak ayam masak kari ni?
Adik: Sedap bang. Terima kasih sebab bawak ye. Kami jarang sangat dapat makan ayam.
Afiq: Takpe dik. Makan la. Berapa kali makan ayam dalam seminggu?
Adik: Jarang la bang. KALAU REZEKI MURAH boleh la merasa SEMINGGU SEKALI. Tapi tu pun jarang-jarang bang. Kalau abang-abang datang baru boleh makan ayam.
Aku amat tersentuh dengan dialog di atas. Kurasakan mereka lebih pandai menghargai rezeki yang Allah kurniakan kepada mereka berbanding diriku. Begitulah manusia. Apabila dikurniakan rezeki yang banyak, mudah lupa. Lupa kepada Allah yang mengurniakan rezeki tersebut. Astaghfirullah hal 'azim!

Rasulullah SAW amat menganjurkan kepada kita supaya berbuat ihsan kepada anak-anak yatim. Antara hadith Rasulullah SAW berkenaan anak-anak yatim:
  • Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: 
    "Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak." Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan)."
    [Riwayat Bukhari] - rujukan

  • Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
    "Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya." [Riwayat Ahmad]

    Mengulas hadis riwayat Ahmad itu, Al-Hafizah Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata: “Cukuplah sebagai bukti yang menetapkan dekatnya kedudukan Nabi dengan kedudukan orang yang mengasuh anak yatim, kenyataan bahawa antara jari tengah dan jari telunjuk tidak ada jari yang lain.”

  • Daripada Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
    "Orang yang memelihara anak yatim di kalangan umat Muslimin, memberinya makan dan minum, pasti Allah SWT akan memasukkan ke dalam syurga, kecuali ia melakukan dosa yang tidak boleh diampun."
    [Riwayat Tirmidzi]

  • Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
    "Sebaik-baik rumah di antara orang Islam ialah rumah yang di dalamnya ada anak yatim yang diperlakukan dengan sebaik-baiknya dan seburuk-buruk rumah ialah rumah yang di dalamnya ada anak yatim, namun diperlakukan dengan buruk." [Riwayat Ibnu Majah]
Musibah yang menimpa Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Madrasah Hidayah al-Taqwa, Hulu Langat [ Official Facebook ] amat menyayatkan hati. Salam takziah buat keluarga anak-anak yatim yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut. Doakan semoga roh mereka ditempatkan bersama para solehin. Al-Fatihah~


Kepada yang berkemampuan dari segi kewangan, menyumbanglah sedikit sebanyak harta kepada mereka yang memerlukan seperti rumah anak-anak yatim. Bagi pelajar yang sememangnya tidak berkemampuan dari segi kewangan, luangkanlah sedikit masa untuk berkunjung ke rumah anak-anak yatim. Dengan kehadiran kita semua insyaAllah sedikit sebanyak akan dapat menggembirakan hati mereka. Mudah-mudahan segala amalan tersebut dikira sebagai amal kebajikan oleh Allah SWT.

~Sekadar Contengan~

All the Best, 13th Legacy!

Alhamdulillah. Rekod baru tercipta. Buat pertama kalinya dalam tempoh 2 tahun, kesemua ahli 13th Legacy PASS dalam end block exam. Lebih manis lagi, kesemuanya eligible to take First Professional Examination exam kelayakan sebelum masuk ke clinical phase, yang dijadualkan pada minggu depan (16-18 Mei 2011). Tahniah sahabat-sahabat.

Perhatikan sekeliling kita. Apabila musim exam menjelma, semakin ramai yang menjadi semakin rajin untuk study. Jika sebelum ni 24 jam diisi dengan tidur, makan dan futsal, sekarang semua nikmat dunia tu sanggup dilupakan. Ini semua gara-gara study untuk exam. Bagus! Berhijrah ke arah kebaikan. 

Tetapi, AWAS! Jangan sesekali kerana study, hubungan kita dengan Allah terjejas. Dengan alasan nak study, solat dilengah-lengahkan, al-Quran ditinggalkan. Tidak kurang juga yang tidur pukul 3,4 pagi untuk study, dan akhirnya terlepas solat Subuh. Adakah dengan hanya berusaha membolehkan kita berjaya dengan cemerlang?

Sudah semestinya TIDAK! Ingatlah sahabat, study tu hanyalah salah satu usaha daripada kita. Usaha semata-mata tidak akan mampu untuk membuahkan hasil. Segala hasil adalah di bawah ketentuan Allah SWT. Sama-sama kita berusaha untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. Banyakkan berdoa tetapi bukan untuk diri kita semata-mata bahkan untuk seluruh ahli batch 13th Legacy. Pohonlah kepada Allah kerana Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. 

Daripada Abu Darda' RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab, di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, Amin! Engkau juga beroleh manfaat yang sama." 
(Riwayat Muslim)

Kupohon kemaafan daripada seluruh warga 13th Legacy (terutamanya PBL Group 6 dan Welfare Bureau) kalau ada ada menyakitkan hati secara langsung ataupun tidak langsung, terlebih gurau dan loyar buruk, terkutuk, terkata, terkeji dan segala jenis 'ter' yang bersifat mazmumah. MAAFKAN AKU! Sama-sama kita saling bermaafan untuk mengelakkan dosa-dosa kita yang bertimbun menjadi hijab (dinding/halangan) kepada kita ketika menjawab soalan kelak.

Doakan kami!
Kepada pembaca entri ni sama ada secara sengaja ataupun tak sengaja, doakanlah semoga  kami, 133 orang ahli MBBS 13th Legacy dikurniakan kesihatan terbaik dan kemudahan untuk menjawab semua soalan.  Semoga seluruh batch dikurniakan kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Ameen...

~Sekadar Contengan~

Duhai Sahabat!

Y2B4 End block exam baru sahaja melabuhkan tirainya. Perancangan asalnya aku ingin stay di kampus sehingga  berakhir exam seterusnya. Tapi perancangan Allah lebih baik. Sedikit kecederaan ketika bermain futsal kubra menuntut aku pulang ke kampung untuk mengurut. (sebab ke alasan ni?).

Sehari di rumah tanpa membuat apa-apa hampir membuat aku gila. Satu-satunya penawar  yang ada ialah buku-buku tersusun elok di atas rak di ruang tamu. Aku memilih novel yang nipis kerana target aku untuk khatamkan dalam tempoh 24 jam. Novel Terasing karya Hilal Asyraf menjadi pilihan.

-------------------------------------------------------------------------------------------
"Bagaimana agaknya kalau ada di antara kawan kita terjebak dalam hal-hal pengingkaran kepada Allah? Senang cerita, dia jadi jahatlah. Apakah kita patut tinggalkan mereka?

Aku menggeleng. "Tidak. Kita TIDAK patut meninggalkan mereka."
 

"Biar saya ceritakan satu kisah." Aku membuka cerita.

Kisah berkenaan seorang ulama tersohor, yang mempunyai seorang sahabat karib. Satu hari, dia dan sahabat karibnya berpisah. Ulama itu terus menjadi terkenal kerana ketinggian ilmunya dan kesolehan dirinya. Dia telah terputus berita berkenaan sahabatnya. Hinggalah satu hari, seorang lelaki tiba kepada ulama itu dan bertanya.

"Sheikh, apakah kau kenal fulan yang bernama fulan bin fulan?"

"Ya, dia sahabat karib aku."

"Aku dengar dia sekarang sudah rosak, tersungkur di lembah maksiat, melakukan kemungkaran kepada Allah."

"Oh?" Dan ulama itu tanpa membazir masa, terus pulang ke rumah dan mempersiapkan bekalan perjalanan. Lelaki tadi pelik, apabila melihat ulama itu keluar semula dari rumah dengan keadaan seperti hendak bermusafir.

"Sheikh, kau hendak ke mana?"

Ulama itu menjawab. "Berjumpa sahabatku."

"Buat apa? Kau masih menganggap dia sebagai sahabat? Dia sudah ingkar kepada Allah wahai Sheikh."

"Maka sebab itulah aku pergi kepadanya. Aku hendak menyelamatkannya."

"Kenapa?" 

"Sebab aku adalah sahabat dia."

Begitulah kisah persahabatan yang sebenar. Kalau benar sahabat, maka kita akan membawa sahabat pulang kepada Allah, kita akan menegurnya jika dia terlupa. Sebab, kita bersahabat untuk mendapatkan keredhaan Allah.

[petikan dari novel Terasing]
-------------------------------------------------------------------
Novel ni membawa tema percintaan, kekeluargaan, anak-anak dan persahabatan. Tapi aku lebih terkesan dengan kisah persahabatan. Keutuhan ukhuwwah dua orang sahabat sungguh hebat. Peranan sahabat yang sebenar-benarnya bukan sekadar untuk bergelak ketawa ataupun bertepuk bertampar. Sebenarnya lebih daripada itu.

Carilah sahabat yang soleh kerana dengan asbab kesolehannya, kita akan turut terpimpin untuk menjadi soleh. Apabila berdampingan dengan sahabat yang soleh, jagalah ia dan sayangilah ia. Pelihara hubungan persahabatan agar tidak terputus di tengah jalan.

Sahabat yang baik akan menegur kesilapan sahabatnya. Mustahil sahabat yang baik akan membiarkan sahabatnya lalai dan hanyut dengan godaan dunia. Sahabat yang baik juga menerima teguran dengan hati terbuka tanpa sebarang syak wasangka. Amalan tegur-menegur, nasihat-menasihati mampu melahirkan dua orang sahabat yang sentiasa ingat akan Allah dan mencari keredhaanNya.
Duhai sahabat,

"Pertama, ingati aku dalam setiap doamu."

"Kedua, kalau aku jatuh, hulurkanlah tanganmu kepadaku. Bila aku bengkok, kau luruskanlah aku."

"Ketiga, jangan kau asingkan diriku daripada kehidupanmu."

~Sekadar Contengan~