Habib Umar di Malaysia

JADUAL KUNJUNGAN AL-ALLAMAH AL-MUHADDITH AL-HABIB UMAR BEN HAFIZ HAFIZAHULLAH KE MALAYSIA

1) ISNIN , 11 MEI , 6PTG - 10 MLM :
JILSAH DI MASJID AL-FALAH USJ 9 ,
SUBANG JAYA , SELANGOR

2) SELASA, 12 MEI , 6PTG - 10 MLM :
JILSAH DI MASJID SELAT,
PULAU MELAKA, MELAKA

3) RABU, 13 MEI , 6PTG - 10 MLM :
JILSAH DI MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN,
JALAN DUTA, KL

Kunjungan ulama' yang amat dinanti-nantikan. Tarikh-tarikh yang tercatat menghampiri final exam yang akan bermula beberapa hari kemudian. Semoga aku dipermudahkan dan diberi kesempatan untuk meluangkan masa mengikuti semua program yang telah disusun sempena lawatan al-Habib ke Malaysia.

Kejayaan Juara Bertahan

7 April 2009. Tarikh yang dinanti-nantikan oleh seluruh penduduk Malaysia. Semua jiwa dan raga terarah kepada perlawanan sengit di 3 venue berbeza. Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Ai dikunjungi oleh berpuluh-puluh ribu penyokong dari kedua-dua belah pasukan yang bertanding untuk memberi sokongan moral. Kejohanan kali ini menampilkan juara bertahan Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau, PR menentang BN sebagai juara bertahan DUN Batang Ai. Terdapat juga 14 pasukan kerdil yang cuba untuk menggugat status kedua-dua pasukan gergasi tersebut. Mampukah pasukan kerdil membuat kejutan? Mampukah juara bertahan di kawasan masing-masing ditumbangkan? Sama-sama kita nantikan kesudahannya.

Tepat jam 2130, keputusan telah tercatat di scoreboard. Akhirnya PR telah berjaya memenangi 2 perlawanan dengan keputusan yang selesa di Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau manakala BN menang di tempat terpencil, DUN Batang Ai juga dengan keputusan yang selesa. Juara bertahan telah menunjukkan kehebatan masing-masing dengan mengekalkan kemenangan di ketiga-tiga kawasan yang terlibat. Pasukan kerdil yang cuba mencoteng arang kepada kedua-dua pasukan tersohor tersebut akhirnya berputih mata untuk pulang dengan tangan kosong kerana gagal mencatatkan kemenangan dan kehilangan wang pertaruhan.

Tahniah diucapkan kepada pasukan yang menang terutamanya kepada pasukan PR yang sejak awal telah mendapat kesukaran kerana satu-satunya wadah penyampaian informasi tentang pasukan mereka telah disekat selama 3 bulan. Apakah motif di sebalik sekatan ini? Adakah pasukan lain rasa terancam dengan informasi dalam wadah tersebut? Siapa makan gula, dia yang rasa manis! Komitmen pemain terbaik kejohanan di Parlimen Bukit Gantang, Saudara Ir Nizar patut dipuji. Sekalipun dimomokkan telah menjadi penderhaka, penyokong-penyokong tetap yakin akan kebolehannya menjadi jeneral sehinggakan masih ramai yang menyokong beliau. Adakah status penderhaka itu hanyalah kata-kata dusta yang keluar dari mulut orang-orang yang dengki akan ketokohan beliau? Kelihatan juga pertukaran tampuk pemerintahan pasukan BN tidak memberikan kesan yang diharapkan. Adakah pemerintah yang baru naik tersebut tidak mendapat tempat di hati penyokong pasukan BN sendiri? Sama-samalah kita fikirkan.


~Sekadar contengan~

Pilihlah dengan Bijak

Hidup ni menuntut kita sentiasa memilih dan membuat keputusan. Keputusan yang perlu diputuskan adalah dari sekecil-kecil hal seperti "Perlukah aku bermain PES petang ini?" hinggalah kepada sebesar-besar perkara sebagai contoh "Sanggup ke aku berjihad bersama-sama saudara kita di bumi berdarah Palestina?".

Bila mana kita berada dalam dilema untuk memilih, jalan yang terbaik adalah meminta bantuan daripada Allah dengan menunaikan SOLAT ISTIKHARAH. Kita perlu beristikharah kerana kita tahu bahawa ilmu Allah amatlah luas jika dibandingkan dengan ilmu kita yang hanyalah diumpamakan seperti setitis air di lautan yang luas.

Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu.”

Allah juga lebih mengetahui apa yang terbaik bagi diri kita kerana ALLAH, pencipta kita mengetahui selok belok diri kita secara terperinci. Pencipta sesuatu sebagai adalah pakar kepada apa yang diciptanya. Sebagai contoh jurutera kereta. Kelebihan dan kekurangan sesebuah kereta pasti diketahui jurutera yang menciptakan kereta tersebut. Begitu juga pencipta kita, ALLAH mengetahui segala kelebihan dan kekurangan pada diri kita.

Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Surah al-Baqarah 2:216).

Setelah beristiharah kita akan bermimpi sesuatu yang berkaitan dengan perkara yang perlu kita pilih. Jika tidak bermimpi, Allah akan membuka jalan dengan memudahkan kita mencapai pilihan yang terbaik bagi diri kita. Sekiranya tiada tanda sedemikian yang berlaku, nescaya ikutlah gerak hati. InsyaALLAH itulah pilihan terbaik yang Allah kurniakan kepada kita.

Baru sebentar tadi aku membuat keputusan tentang sesuatu perkara. Ini adalah keputusan besar yang kedua yang pernah aku buat dalam hidup setelah keputusan untuk mengangkat kaki dari bumi Tronoh 2 tahun yang lalu. Keputusan kali ini adalah penentu masa depan aku. Aku berdoa dan bertawakkal kepada Allah semoga keputusan ku ini adalah yang terbaik bagi diri aku yang dhaif ini. InsyaALLAH. Amin...

P/s: Kepada penduduk di 3 kawasan panas, Parlimen Bukit Gantang (Perak), DUN Bukit Selambau (Kedah) dan DUN Batang Air (Sarawak), berilah sokongan kalian kepada calon berjiwa rakyat yang rela berkorban diri demi kesejahteraan rakyat bukan yang rela mengorbankan rakyat untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Aku Cinta Padamu

Bulan Rabiul Awal yang mulia hampir melabuhkan tirainya. Bulan yang mana lahirnya seorang insan agung sebagai pesuruh Allah di muka bumi Allah ini. Kita sebagai ummat Rasulullah SAW patut sentiasa melahirkan perasaan kasih dan sayang kepada Rasulullah SAW pada setiap saat dan setiap detik. Telah termaktub dalam sejarah bahawa ketika saat kewafatan Rasulullah SAW, lidah baginda masih basah menyebut "ummati, ummati". Lihatlah. Betapa kasihnya Rasulullah SAW terhadap kita. Tika saat sakaratul maut pun masih ingat akan ummatnya. Kita pula bagaimana? Adakah kita mengasihi Rasulullah SAW sebagaimana baginda mengasihi kita? Adakah kita sentiasa berselawat dan mengucapkan salam ke atas baginda? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.

Pada 28-29 Rabiul Awal 1430H bersamaan 25-26 Mac 2009 aku berkesempatan menyertai Majlis Silaturrahim Pondok SeMalaysia & Sambutan Maulidurrasul 1430H bertempat di Madrasah Darul Muhajirin Bukit Jong, Kuala Terengganu. Aku berasa cukup bertuah dan bersyukur kerana daripada berjuta-juta umat Islam di Malaysia, aku antara hamba yang terpilih oleh Allah untuk berkumpul di suatu majlis yang bertujuan untuk menyatakan mahabbah dan kecintaan kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW. Majlis kali ni turut disertai para ulama' yang menyampaikan pengajian, tazkirah dan tausiyyah seperti Ustaz Ahmad Fahmi Zam-Zam, al-Habib Syed Ahmad al-Hadi (Maghribi) dan Ustaz Tengku Muhd Fauzi (Singapura). Pelbagai qasidah memuji Rasulullah turut dialunkan oleh pelajar-pelajar dari madrasah seluruh negeri Terengganu untuk menyemarakkan lagi kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

Tausiyyah penutup bertajuk "Katakan Kecintaanku Hanya Pada Rasulullah" telah disampaikan oleh Ustaz Tengku Mohd Fauzi Tengku Mahis Jumaat amat terkesan di hati.


إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيماً

"Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya."
(Surah al-Ahzab 33:56)

Allah telah memerintahkan seluruh umat Islam untuk berselawat dan mengucapkan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW. Bila mana sahabat bertanya kepada Rasulullah, bagaimana cara untuk berselawat kepada baginda. Rasulullah SAW mengajarkan cara berselawat sebagaimana yang biasa kita baca di dalam solat ketika tahiyyat. Lafaz selawat yang diajar oleh baginda, meminta ALLAH SWT berselawat ke atas Rasulullah SAW. Lihatlah betapa agungnya Rasulullah SAW sehingga kita tidak mampu untuk berselawat ke atas baginda sebaliknya memohon ALLAH berselawat kerana hanya ALLAH yang mampu berselawat ke atas insan semulia baginda.

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehingga adalah aku terlebih dikasihinya daripada dirinya, hartanya, anaknya dan sekalian manusia.” (al-Hadith).