Muliakanlah Anak Yatim

Sepanjang berada di Kuantan, sudah beberapa kali aku berkesempatan untuk berprogram bersama anak-anak yatim. Yang terbaru ialah pada hari Ahad yang lalu. Seramai 30 orang pelajar tahun 1 & 2, mengadakan program di salah satu rumah kebajikan di sekitar Kuantan, iaitu Rumah Amal Hembusan Kasih Sayang (RAKHS) [ Official Facebook / Official Blog ]. Aktiviti yang dijalankan ialah gotong-royong, membantu adik-adik membuat persediaan untuk peperiksaan pertengan tahun keesokan harinya, sukaneka dan makan tengah hari dalam talam bersama-sama.
Dialog dengan seorang adik ketika makan tengah hari bersama-sama. [credit to Afiq Rohimi]

Afiq: Adik, sedap tak ayam masak kari ni?
Adik: Sedap bang. Terima kasih sebab bawak ye. Kami jarang sangat dapat makan ayam.
Afiq: Takpe dik. Makan la. Berapa kali makan ayam dalam seminggu?
Adik: Jarang la bang. KALAU REZEKI MURAH boleh la merasa SEMINGGU SEKALI. Tapi tu pun jarang-jarang bang. Kalau abang-abang datang baru boleh makan ayam.
Aku amat tersentuh dengan dialog di atas. Kurasakan mereka lebih pandai menghargai rezeki yang Allah kurniakan kepada mereka berbanding diriku. Begitulah manusia. Apabila dikurniakan rezeki yang banyak, mudah lupa. Lupa kepada Allah yang mengurniakan rezeki tersebut. Astaghfirullah hal 'azim!

Rasulullah SAW amat menganjurkan kepada kita supaya berbuat ihsan kepada anak-anak yatim. Antara hadith Rasulullah SAW berkenaan anak-anak yatim:
  • Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: 
    "Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak." Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan)."
    [Riwayat Bukhari] - rujukan

  • Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
    "Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya." [Riwayat Ahmad]

    Mengulas hadis riwayat Ahmad itu, Al-Hafizah Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata: “Cukuplah sebagai bukti yang menetapkan dekatnya kedudukan Nabi dengan kedudukan orang yang mengasuh anak yatim, kenyataan bahawa antara jari tengah dan jari telunjuk tidak ada jari yang lain.”

  • Daripada Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
    "Orang yang memelihara anak yatim di kalangan umat Muslimin, memberinya makan dan minum, pasti Allah SWT akan memasukkan ke dalam syurga, kecuali ia melakukan dosa yang tidak boleh diampun."
    [Riwayat Tirmidzi]

  • Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
    "Sebaik-baik rumah di antara orang Islam ialah rumah yang di dalamnya ada anak yatim yang diperlakukan dengan sebaik-baiknya dan seburuk-buruk rumah ialah rumah yang di dalamnya ada anak yatim, namun diperlakukan dengan buruk." [Riwayat Ibnu Majah]
Musibah yang menimpa Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Madrasah Hidayah al-Taqwa, Hulu Langat [ Official Facebook ] amat menyayatkan hati. Salam takziah buat keluarga anak-anak yatim yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut. Doakan semoga roh mereka ditempatkan bersama para solehin. Al-Fatihah~


Kepada yang berkemampuan dari segi kewangan, menyumbanglah sedikit sebanyak harta kepada mereka yang memerlukan seperti rumah anak-anak yatim. Bagi pelajar yang sememangnya tidak berkemampuan dari segi kewangan, luangkanlah sedikit masa untuk berkunjung ke rumah anak-anak yatim. Dengan kehadiran kita semua insyaAllah sedikit sebanyak akan dapat menggembirakan hati mereka. Mudah-mudahan segala amalan tersebut dikira sebagai amal kebajikan oleh Allah SWT.

~Sekadar Contengan~

2 orang berkata-kata:

FATIN ~ bijaksana said...

emm..kalau kite tgk..anak2 yatim yg ditimpa musibah tanah runtuh tu amat tabah dan kuat..mereka terima takdir Allah..esp. 2 org yg terpaksa dipotong kaki..sgt kagum..

'Eid Benyusof said...

mereka terdidik dengan sifat tabah sejak kecil.. bermacam-macam dugaan dah mereka alami.. no wonder mereka lebih kuat n tabah berbanding orang lain..