Nikmat yang Sering Dilupakan

Bismillah walhamdulillah. Kita masih diberi peluang oleh Allah untuk merasai 2 nikmat yang amat besar yakni nikmat Islam dan nikmat Iman. Nikmat yang tidak kurang besar yang seterusnya ialah nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. Namun demikian, berapa keratkah daripada kita yang benar-benar menghargai nikmat-nikmat percuma yang Allah kurniakan kepada kita yang tiada dikenakan sebarang bayaran apatah lagi cukai.

Menurut Ibn Abbas r.a. , Nabi s.a.w telah bersabda:

“Dua nikmat paling besar yang tidak diambil peduli oleh kebanyakan manusia, iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang.”
(Sahih Bukhari)


Kesihatan

Berdasarkan hadith tersebut, benarlah bahawa kita sentiasa tidak menyedari kehadiran nikmat kesihatan dan masa lapang. Kehadirannya hanya disedari apabila berlaku sebaliknya dan ketika nikmat tersebut ditarik balik.

Dari segi kesihatan, terkadang terasa manusia ni kufur nikmat yang dikurniakan oleh Allah. Suka sahaja membuat sesuatu yang membahayakan kesihatan. Contoh terdekat dan paling mudah ialah merokok. Siapa yang tidak tahu bahawa merokok bahaya dan boleh membunuh? Budak sekolah rendah pun tahu inikan pula mahasiswa! Bukan setakat membunuh diri sendiri bahkan turut membunuh orang di sekeliling. Tidak keterlaluan jika dikatakan kalimat sayang yang diungkapkan oleh si ayah yang merokok kepada si ibu dan anak-anak hanyalah retorik semata kerana di samping melafazkan kalimah tersebut, pada masa yang sama mereka membunuh orang-orang yang tersayang secara sirr!

Tempat yang paling efisyen untuk menyedarkan diri kita yang lalai dengan nikmat kesihatan ialah hospital. Di sini kedapatan ramai hamba Allah yang telah ditarik nikmat kesihatan. Ambillah iktibar daripada orang lain untuk mengubah diri sebelum nikmat tersebut ditarik balik oleh Allah dari diri kita sendiri.

Masa lapang

"Din, aku rase macam dok dang je nok cover sumer ni? Banyok berdo'oh lalu. Dok larat aku nok sumbat malam ni belake," Ahmad mengadu kepada Din yang tekun study di sebelah.

"Kalulah aku study awal-awal dulu, dakyoh rr nok stay up gini macang. Mate ngatuk doh ni. Tapi kalu tido, soh-soh doh dokleh jawab esok. Lepas ni confirm aku aku dok wak gini doh. Aku nok study awal sokmo doh lepah ning," monolog seorang pelajar kala dinihari.

Inilah dialog biasa kedengaran di kalangan sahabatku ketika musim peperiksaan akhir menjengah di zaman persekolahan dulu. Kata-kata berbaur penyesalan dan keazaman untuk berubah. Jelas sekali ini adalah bahana tidak menghargai nikmat masa lapang. Masa lapang yang kerap kali diisi dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Games, tidur dan lepak lebih menjadi keutamaan daripada mengulangkaji pelajaran.

Hidup di dunia ini dikurniakn 24 jam sehari semalam. Tiada lebih tiada kurang. 24 jam memang cukup untuk membuat semua kerja andai kita pandai membahagikan masa tersebut. Segala masa yang terluang perlu dimanfaatkan dengan kerja-kerja yang berfaedah.

Sama-samalah kita mencontohi Rasulullah. Baginda seorang amat teliti terhadap masa. 24 jam yang dikurniakan oleh Allah digunakan sebaik-baiknya. Sesaat masa lapang yang ada tidak disia-siakan. Ada masa digunakan untuk berdakwah di jalan Allah, beribadat kepada Allah sehingga bengkak kaki, bergurau senda dengan isteri tercinta, bertemu sahabat dikasihi dan bermain-main dengan Hassan dan Hussein. 24 jam yang amat berkualiti.

Nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada hambaNya teramat banyak dan amat bernilai. Terpulang kepada kita bagaimana untuk kita menghargai semua nikmat tersebut. Awas! Jangan sampai ke tahap menjadi hamba yang kufur terhadap nikmat-nikmat Allah. Naudzubillah.

~Sekadar Contengan~

Pembatalan Kunjungan Habib Umar


UNTUK MAKLUMAN PROGRAM LAWATAN GURU MULIA AL-HABIB UMAR BIN MUHAMMAD BIN SALIM BIN HAFIDZ KE MALAYSIA TELAH DIBATALKAN KERANA BELIAU ADA URUSAN MUSTAHAK YANG MENYEBABKAN BELIAU PERLU SEGERA KEMBALI KE TARIM, HADRAMAUT.

Oleh itu, semua program yang telah disusun sempena lawatan al-Habib ke Malaysia dari 11 Mei 2009 hingga 13 Mei 2009 DIBATALKAN

walau bagaimana pun,

majlis pada 13 Mei 2009 di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur tetap akan DITERUSKAN dan penceramah jemputan ialah Mursyid Tariqah Syadhuliyah, SHAIKH YUSUF BAKHOUR AL-HASANI (gambar).

HARAP MAKLUM

Nampaknya impian untuk berjumpa al-Habib kali ini tidak kesampaian. Impian tinggal impian. Namun, pasti ada hikmah di sebalik pembatalan ini. Harapnya masih berpeluang bertemu beliau di lain masa. InsyaAllah.

Sumber: Al-Fanshuri

Asyik yang Mengasyikkan



Perasan atau tidak, sebenarnya sebahagian bait lirik yang terkandung dalam video tersebut adalah "modal" Ustaz Ahmad Dasuki bin Muhamad ketika program khas Bicara Tauhid, Tasawwuf dan Tariqah baru- baru ini.

Usah perhatikan keasyikan muziknya, tetapi perhatikan keasyikan liriknya!

Indah bukan rupa
Harum bukan bunga
Manis bukan gula
Panas bukannya bara

Indah, harum, manis dan panas bukannya datang dari rupa, bunga, gula dan bara. Sebaliknya, sifat-sifat tersebut hanyalah wasilah bagi rupa, bunga, gula dan bara kerana sebenar-benarnya sifat-sifat itu datang daripada Allah. Hanya Allah yang mampu menjadikan sesuatu benda berkeadaan sedemikian. Subhanallah.

Cintakan tetap cinta
Sejak aku kenali
Cintamu yang suci
Aku telah berjanji
Tak berpaling lagi

Cinta Allah amatlah suci. Barangsiapa yang mengenali dan mencintai Allah nescaya dan pasti hambanya tidak akan berpaling lagi daripada cinta Allah walaupun sesaat kerana mereka tahu dan yakin bahawa cinta Allah itu indah dan akan kekal abadi.

Satu tak terbilang
Hanyut tak terenang
Waktu tak terasa
Rindu tak terkata
Asyiknya cinta

Bukan cinta sesama makhluk yang dicari. Asyiknya bila bercinta dengan Yang Maha Pencipta. Bila mana diri sudah dilamun cinta akan Allah nescaya dunia ini tiada nilai langsung. Yang wujud di ingatan hanyalah Allah yang Satu.

P/s: Ya Allah! Kurniakanlah kesihatan yang terbaik kepada sahabat-sahabatku terutamanya kepada Azhar yang baru sahaja menjalani pembedahan dan roomateku,Nabil yang kini berada di hospital. Amin ya Robbal 'aalamin.

~Sekadar Contengan~

Pengertian Sekeping Gambar

Apa itu tag? Adakah tag sejenis kuih? Atau pun sejenis permainan rakyat? Aku pun kurang mengerti. Namun, bila mana teringat kata-kata hikmah, "orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa", maka tanpa segan silu dan berbesar hatinya aku menerima amanah untuk menyudahkan tag ini dan mengucapkan terima kasih kepada penge'tag', Hazwan Arif (baca: Beliau).

1. Go to your photos folder in your computer.
2. Go to the 6th folder of photos.
3. Go to the 6th picture in that folder.
4. Put the picture on your blog and description of it.
5. Invite six friends to join the challenge.
6. Link them your blog and let them know they have been challenged

Awal-awal lagi aku telah melanggar rule yang telah ditetapkan. Sebenarnya, gambar yang telah terpilih bukan dari folder keenam sebaliknya adalah dari folder kedua. Sungguh sedikit sekali folder gambar yang wujud di dalam laptop ini. Sebelum menceritakan dengan lebih lanjut tentang gambar ni, marilah sama-sama kita berkenalan dengan gambar yang amat bertuah ini.

Biodata gambar
Nama penuh: 100_3920
Tarikh lahir: Jam 2012, 11 April 2009
Tempat lahir: Masjid Negara, Kuala Lumpur
Nama Kodak Easyshare M1033 Digital Camera
Berat: 1.66 MB
Tinggi: 2736
Lebar: 3648

Gambar ini diambil ketika Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Haul Syeikh Abdul Kadir al-Gailani di Masjid Negara. Majlis bermula selepas asar, kira-kira jam 1730 dan berakhir jam 2230. Gembira hati kecilku melihat agak ramai sahabat seperjuangan turut serta dalam majlis ilmu ini. Majlis ini dianjurkan oleh Amanah al-Wariseen yang dikepalai oleh Maulana Afeefuddin. Ramai ulama dan tokoh-tokoh hebat telah dijemput untuk menyampaikan tausiyyah ringkas berkisar tentang keistimewaan dan ketidaksamaan Nabi Muhammad berbanding manusia biasa. Lafaz syukur turut terpacul di mulut apabila melihat mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut hadir. Semoga terus kembali ke pangkal jalan hendaknya dan menjadi sehebat datuknya, Syeikh Abdullah Fahim.
  • Prof. Dr. Rafi’ al-Ani (Mufti Negara Iraq)
  • Al-Habib Umar Hamid al-Gailani (Ulama Makkah)
  • Sayyid Abbas bin Sayyid ‘Alawi al-Maliki al-Hasani (Ulama Makkah)
  • Dr. Ahmad Omar Hashem (Mantan Rektor Universiti al-Azhar, Mesir)
  • Shohibus Samahah Prof. Dr. Ali Juma’ah Mohamad Abdul Wahab (Mufti Besar Mesir)
  • Al-Habib Hassan bin Muhammed bin Salim al-Athtas (Masjid Ba’alawi, Singapura)
  • Maulana Afeefuddin al-Gailani (Syaikh Tariqah Qadiriah)
  • Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady (ISTAC)
  • Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki al-Rembawi (Penasihat Yayasan SOFA)
Majlis turut diserikan dengan bacaan Mawleed ad-Daiba'ie oleh Habib Hassan bin Mohammed Salim al-Attas. Sebelum bersurai, hadirin telah dihadiahkan kitab Qasidah Al Burdah (selendang), karya Sheikh Sayyid Al Muddah Abu Abdullah Syarafuddin Muhammad ibn Sa'I'd ibn Hammad ibn Muhsan ibn Abdullah ibn Sofhaji ibn Al Sonhaji Al Busairi Syazuli dan lebih dikenali dengan nama Imam Al-Busairi. Sedikit sejarah berkenaan qasidah ini. Dikisahkan bahawa qasidah ini dikarang oleh Imam al-Busairi ketika beliau sedang menghadapi sakit lumpuh yang tidak dapat dirawat oleh para doktor. Lalu dengan hati gundah gulana dan pasrah beliau menulis qasidah sebanyak 169 bait dan sebaik sahaja qasidah tersebut disudahkan, beliau bermimpi didatangi Rasulullah yang mengusap tubuh beliau dan menyelimutkan beliau dengan selendang baginda. Sebaik sahaja tersedar daripada mimpinya, Imam Al Busairi mendapati dirinya sudah sembuh sepenuhnya daripada penyakit lumpuh tersebut. Maka beliau namakan qosidah ini dengan nama Qasidah al-Burdah.

~Sekadar Contengan~