Seramai 25 orang bujang, bertolak dari UIA, PJ sejak awal pagi ke destinasi. Perjalanan yang simple. Metrobus bernombor 12 membawa ke Central Market(CM) dan bas seterusnya terus membawa ke Rawang. Perjalanan memakan masa lebih kurang 1 jam. Tapi, aku tidak perlu bersusah payah guna public. Aku naik kereta bersama roomate ku.
Semua bujang tiba di sana menjelang waktu Zuhur. Usai solat Zohor berjemaah, aktiviti pertama ialah mandi air terjun bermula. Kami mendaki bukit untuk ke air terjun tingkat 4. Ubi kayu dan nyiur parut turut dibawa untuk menjadi santapan kami selepas mandi. Selepas 20 minit mendaki, tempat yang dituju dapat dijejaki. Tempat mandi yang agak kecil dan berbatu. Oleh sebab semangat nak mandi yang meluap-luap, semua itu(baca:mehnah tribulasi) tidak kami endahkan. Selepas mandi beberapa ketika, aku bersama 3 orang sahabat, sempat naik ke tingkat lebih atas. Hajat di hati nak naik ke tingkat yang paling atas. Namun hanya sempat naik ke tingkat 6 je. Tanpa dipinta, fikiranku terarah tentang keadaan di tingkat paling atas. Air dari atas bukit tidak henti-henti mengalir turun ke bawah. Adakah ada kolam takungan air yang besar di atas sana? Adakah hujan bukit kerap berlaku di atas sana? Subhanallah. Maha Suci ALLAH. Aku pun kurang periksa. Aku cuba kaitkan fenomena tersebut kepada yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Betapa ALLAH kurniakan banyak nikmat dan rahmat kepada hamba-hambanya walaupun tanpa dipinta. Ada rahmatNya yang kita dapat sedangkan kita tidak sempat berdoa untuk meminta. Alhamdulillah. Segala Puji bagi ALLAH. Kita tetap dikurniakan rahmat walaupun acap kali melakukan maksiat. Allahuakbar. ALLAH Maha Besar.
مَا يَفْتَحِ اللَّهُ لِلنَّاسِ مِن رَّحْمَةٍ فَلَا مُمْسِكَ لَهَا وَمَا يُمْسِكْ فَلَا مُرْسِلَ لَهُ مِن بَعْدِهِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
[35:2] Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa RAHMAT, maka tidak ada seorangpun yang dapat menahannya; dan apa saja yang ditahan oleh Allah maka tidak seorangpun yang sanggup melepaskannya sesudah itu. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Setelah ubi kayu masuk ke dalam perut, kami turun ke bawah untuk teruskan aktiviti lain. Ba'da Asar, khemah di setup di tengah-tengah tempat berkelah. Di sebelah alur sungai. Sebanyak 5 khemah didirikan. Setiap ahli khemah di arahkan untuk membuat persembahan pada malamnya.
Selepas solat Maghrib dan Isyak berjemaah, agenda mengisi perut menjadi keutamaan. Menu utama adalah nasi goreng dan ayam BBQ. Sosej, otak-otak dan fish ball menjadi makanan sampingan. Kudapan lambat disiapkan kerana ada sedikit kesilapan teknikal. Maaf wahai sahabat. Kira-kira jam 2300, persembahan dimulakan. Dapat disimpulkan, sepanjang 2 jam persembahan dari 5 kumpulan, kebanyakan persembahan berkisar tentang masalah di kampus dan masalah global seperti isu Palestin.
Pagi esoknya, ada sedikit aktiviti riadhah. Permainan tradisional menjadi pilihan tapi tidak pasti apa nama komersialnya. Di negeri Darul Iman, ia lebih dikenali sebagai 'bola selipar'. Sebelum balik, kami naik ke air terjun tingkat 2 untuk mandi air terjun buat kali terakhir. Kawasan kali ni lebih live. Batu kurang dan air pun paras leher. Maka ramai lah sahabat-sahabat yang tunjukkan kehandalan di medan air. Selepas sarapan, khemah dikemas dan bersiap untuk pulang. Sebelum pulang ke kampus, kebanyakan turut sama pergi menyatakan ketidakpuasan hati kepada Israel laknatullah.
Secara konklusinya, aku rasa program sebegini memang banyak kebaikannya. Yang paling utama ialah ukhuwwah antara sahabat. Bila mana aktiviti dilakukan bersama, keserasian antara sahabat dapat ditingkatkan. Tapi di lain masa, aku harap lebih ramai sahabat yang dapat meluangkan masa untuk sertai program sebegini. Semoga 'Bujang Picnic' terus jadi kenangan kita bersama walaupun dah berada di Kuantan atau pun Gombak.
3 orang tiada dalam gambar. Snapped by Zulkarnain.