Tokku Paloh

ULAMA YANG DIGERUNI BRITISH

TOKKU PALOH : ULAMA SUFI PENASIHAT SULTAN

Tokku Paloh

“Terengganu ini ada tuannya. Sila berunding dengan tuannya!(Tokku Paloh)”, titah Sultan kepada wakil British, W.L Conlay.

Tokku Paloh atau nama sebenarnya Sayid Abdul Rahman bin Muhammad Al Idrus adalah ulama kerohanian yang berkecimpung dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu. Beliau hidup dalam zaman pemerintahan lapan orang sultan silih berganti, paling lama dan paling kuat pengaruh beliau ialah semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-11.

Kerana kewibawaannya, beliau diberi mandat oleh Sultan mentadbir kawasan Paloh dan mengawasi kawasan Hulu Terengganu. Beliau juga diterima sebagai penasihat pertama dan utama kepada sultan dalam berbagai persoalan. Beliau tegas dan pintar dalam bidang diplomatik dan sering diberi peluang mewakili sultan berunding dengan pihak British sehingga pada zaman itu British gagal menjajah Terengganu.Tokku Paloh 
terkenal sebagai seorang wali Allah yang mempunyai berbagai karamah dan sentiasa mendapat bantuan Allah swt khususnya sewaktu mengendalikan urusan rakyat. Tokku Paloh adalah khalifah Tareqat Naqsyabandiah, dan beliau turut mengamal dan mengembang luaskan ‘Syahadat Tokku’ satu amalan yang disusun oleh ayahnya Tokku Tuan Besar.

Kerusi  yang  melekat  seketika  pada  punggung  penjajah!

“Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun,” kata Tokku Paloh. “Tetapi kalau nak tanah, silakan. Isilah ke dalam armada tuan sebanyak mana pihak British mahu… ambillah tanah.”

Itulah jawapan Tokku Paloh kepada wakil British, semasa berlaku perundingan antara pihak British dengan Tukku Paloh yang mewakili kerajaan Negeri Terengganu. Jawapan dalam bentuk sindiran itu yang diluahkan dengan tenang tetapi tegas, ternyata menyakitkan hati wakil-wakil British itu. mereka bangun untuk beredar. Tetapi dengan kuasa Allah, punggung mereka tidak semena-mena terlekat di kerusi. Apabila mereka mengangkat punggung, kerusi turut terangkat sama buat seketika sebelum jatuh ke lantai. Waktu itu Tukku Paloh bersuara secara bersahaja :“Sudahlah tuan2 hendak ambil tanah Terengganu, kerusi rumah saya pun tuan2 hendak ambil?”

Demikianlah gagalnya diplomasi British untuk menjajah Terengganu pada sekitar awal abad ke-20. Taktik diplomasi yang berjaya digunakan di beberapa negeri lain, gagal di negeri Terengganu kerana adanya gandingan rapat antara ulama dan umarak ( pemerintah). Tegasnya antara Sayid Abdul Rahman Al Idrus atau Tukku Paloh dengan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-11 (memerintah 1881-1918).

Keturunan Rasulullah s.a.w

Dilahirkan pada tahun 1817 [1236 Hijrah] di Kg. Cabang Tiga, Kuala Terengganu, Tokku Paloh adalah nasab yang ke-32 daripada Rasulullah s.a.w. di kalangan keluarga Al Idrus. Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein r.a. anak Sayidatina Fatimah Az Zahrah r.ha. bt. Rasulullah. Ibunya, Hajah Aminah ialah isteri pertama daripada beberapa orang isteri Sayid Muhammad yang terkenal dengan gelaran Tokku Tuan Besar. Semasa pemerintahan Sultan Omar, Tukku Tuan besar menjadi Syeikhul Ulama iaitu ketua seluruh ulama Terengganu dan dianugerahkan gelaran Paduka Raja Indra oleh baginda Sultan. Kedua-dua kedudukan itu menjadikan Tokku Tuan Besar sangat dihormati dan berpengaruh di kalangan istana dan rakyat keseluruhannya.

Menurut cucunya Sayid Abdul Aziz, sejak kecilnya lagi sudah ada tanda-tanda pelik yang mengisyaratkan Tokku Paloh akan muncul menjadi orang penting masyarakat. Satu ketika semasa Tokku Paloh berada bersama ayahnya Tokku Tuan Besar, tiba-tiba saja Tokku Paloh melihat seorang yang berserban dan berjubah hijau memanggilnya. Tokku Tuan Besar menahannya seraya berkata,
“Engkau jangan pergi dekat dengan orang itu, nanti kamu tidak boleh bersama abah lagi.”
Perkataan Tokku Tuan Besar itu tidak begitu pasti apa maksudnya. Tetapi yang nyata, Tokku Tuan Besar juga seorang yang kasyaf ; dapat melihat kemunculan seorang yang berserban dan berjubah hijau itu. Siapa orangnya? Wallahu a’lam.

Menuntut  di Makkah,  khalifah Tarekat

Tukku Paloh mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri dan beberapa orang ulama tempatan. Kemudian beliau mengikut jejak ayahnya mendalami ilmu dan meluaskan pengalaman di Makkah Al Mukarramah. Di sana beliau belajar dengan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dan khatam banyak kitab muktabar dalam berbagai bidang ilmu tauhid, feqah, tasawuf, tafsir, nahu, saraf dan lain-lain. Bagaimana pun yang jelasnya, Tokku Paloh sangat arif tentang ilmu tasawwuf dan ilmu tareqat. Malah beliau ada mengarang kitab dan risalah mengenai persoalan kerohanian.

Setelah lebih 10 tahun di Makkah, Tokku Paloh pulang sebagai seorang ulama besar. Beliau seorang yang warak dan terkenal sebagai pemimpin kerohanian yang mengembangkan Tareqat Naqsyabandiah. Sepulangnya dari Makkah, Tokku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kg. Cabang Tiga, Kuala Terengganu [Masjid Simpang Tokku]. Ini merupakan langkah awal beliau berkhidmat kepada orang ramai sebelum melangkah kepada kegiatan yang lebih mencabar, bukan saja dalam bidang pengajaran ilmu tetapi juga dalam bidang pentadbiran, pemerintahan dan jihadnya menentang mungkar dan penjajah British.

Tokku Paloh adalah Regu Sultan Zainal Abidin III – Sultan yang berketurunan orang soleh kerana Sultan Zainal Abidin I berkahwin dengan anak Tok Pulau Manis, bermakna keturunan Kesultanan Terengganu sekarang bercampur darah ulama sufi / wali Allah tersebut.


Seperti juga ayahnya, Tokku Paloh seorang yang sangat berpengaruh di kalangan istana dan menjadi tempat rujuk sultan. Malah perlantikan sultan itu sendiri mempunyai kaitan rapat dengan pengaruh Tokku Paloh di kalangan istana, yang diwarisi daripada ayahnya Sayid Muhammmad bin Zainal Abidin yang terkenal dengan panggilan Tokku Tuan Besar, juga merupakan tokoh agama yang amat terkenal dan pengarang kepada lebih kurang 16 buah buku agama dan nazam. Hubungan Tukku Paloh dengan Sultan ini boleh disamakan dengan hubungan antara Sultan Zainal Abidin I [memerintah 1725-1734] dengan seorang lagi ulama besar Terengganu, Sheikh Abdul Malik bin Abdullah. Ulama yang terkenal dengan gelaran Tokku Pulau Manis ini juga dikenali sebagai wali Allah dan banyak mengarang kitab. Sebagai Syeikh Ulama dan mufti, Tokku Pulau Manis amat berpengaruh di kalangan istana dan dikatakan bertanggungjawab atas pertabalan Sultan Zainal Abidin I yang kemudian menjadi menantu beliau.

Menyedari peri pentingnya pemerintahan raja yang adil yang berlunaskan hukum-hukum Allah s.w.t. Tokku Paloh bersama Sayid Abdullah [menteri besar ketika itu] mengetuai sokongan terhadap perlantikan Tengku Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu menggantikan Sultan Ahmad Shah II [memerintah 1876-1881]. Sokongan dua orang yang berpengaruh ini sungguh berkesan sehingga Sultan Zainal Abidin kekal sebagai raja yang berjaya menegakkan pemerintahan yang kukuh dan bermaruah walaupun usianya ketika memegang tampuk pemerintahan negeri baru 16 tahun. Kejayaan baginda itu adalah berkat mendampingi serta menerima keputusan ulama. Baginda memerintah selama kira-kira 36 tahun 11 bulan hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1918.

Dalam usaha memastikan Paloh terhindar daripada perbuatan maksiat dan pelanggaran undang-undang, Tokku Paloh menubuhkan pasukan penguatkuasa yang dikenali dengan nama Budak Raja. Pasukan Budak Raja itu bertanggungjawab menjaga keamanan seperti tugas yang dipikul oleh pasukan polis hari ini. Untuk memastikan keselamatan kebajikan masyarakat setempat, catatan sejarah menyatakan Tokku gemar keluar pada malam hari,malah pada hari tertentu beliau keluar dengan berselubung kain di kepala. Tindakannya itu untuk memudahkan beliau meninjau kehidupan masyarakat ddan sekiranya ada perkara tidak baik berlaku, Tokku Paloh memerintah Budak Raja untuk membuat tangkapan pada keesokan hari.

Sikap dan keprihatinanya itu memperlihatkan tanggungjawab Tokku Paloh terhadap keselamatan nak buah seperti yang berlaku pada zaman Khalifah Umar al-Khattab ra. Selain gemar keluar pada waktu malam, beliau juga mempunyai mahkamah keadilan sendiri di Paloh yang diberikan mandat oleh sultan untuk menyelesaikan persoalan besar serta mengadili penjahat di kawasa pentadbirannya.

Dalam kehidupannya, Tokku Paloh lebih banyak berhubung secara peribadi dengan Sultan Zainal Abidin III berbanding perhubungan rasmi. Hubungan erat itu terbukti apabila salah seorang isteri Tokku Paloh, Tengku Mandak ialah kekanda Sultan Zainal Abidin sendiri. Sultan berkenaan juga menyerahkan anaknya, Tengku Sulaiman, kepada Tokku Paloh untuk dijadikan anak angkat serta diberi didikan agama. Tengku Sulaiman kemudian menjadi Sultan Terengganu ke 13 yang memerintah dari 1920 hingga 1942.

Kapal Armada British Senget!!

Rundingan pertama yang dijadualkan berlangsung di atas armada British terpaksa dibatalkan oleh British kerana dikatakan kapal armada itu beberapa kali senget apabila Tokku Paloh menyengetkan serbannya. Ini menakutkan wakil-wakil British yang menganggap kejadian itu satu sihir atau silap mata, sedangkan yang sebenarnya adalah karamah kurniaan Allah kepada Tokku Paloh.

Ekoran itu, rundingan diadakan juga pada waktu lain dan kali ini di rumah Tokku Paloh. Untuk itu Tokku Paloh meminjam beberapa buah kerusi bagi meraikan orang putih yang tidak pandai duduk bersila itu. Dengan duduk di atas kerusi, rundingan berjalan dengan panjang lebar dan antara lain wakil British memaklumkan bahawa pihaknya ingin mendapatkan tanah Terengganu dengan alasan membantu membangunkan dan memajukan negeri Terengganu. Dengan kata lain, dalam rundingan itu seolah-olahnya British hendak membantu memajukan Terengganu. Negeri Terengganu ketika itu berpenduduk sekitar 10,000 orang, kebanyakkannya bekerja sebagai nelayan, tukang dan petani. Mereka diakui oleh Clifford sebagai “orang Melayu yang paling pandai dan paling rajin di Semenanjung Tanah Melayu”.

Tokku Paloh mempunyai pandangan yang jauh dan dapat membaca niat jahat wakil British yang mahu menguasai negeri Terengganu dan seterusnya menjajah. Lalu dengan selamba Tokku menjawab segala kehendak wakil British itu dengan penuh sindiran tanpa sedikit pun terpengaruh dengan ‘gula-gula’ yang diumpan oleh orang-orang putih itu. Dalam pertemuan inilah berlakunya kerusi yang diduduki oleh wakil-wakil British itu melekat seketika di punggung mereka seperti telah diceritakan pada awal tulisan ini. Wakil-wakil British itu pulang dari rumah Tokku Paloh dengan hati yang berang bercampur takut akan kelebihan yang ada pada Tokku Paloh. Mereka gagal sama sekali untuk menguasai Terengganu menerusi diplomasi.

Tidak berapa lama selepas itu, beberapa buah armada British datang lagi ke persisiran pantai Kuala Terengganu. Tanpa memberi sebarang amaran, armada itu melepaskan tembakan meriam dan senapang ke arah pantai dan mengarah ke udara. Serangan yang bertujuan menggertak itu telah membunuh seekor kambing di Padang Hiliran.Orang ramai menjadi gempar dan cemas dan sekali lagi Sultan Zainal Abidin menyerahkan urusan ini kepada Tokku Paloh. Lalu dengan tenang dan yakin Tokku Paloh dan bersama orang-orang kanannya termasuk Haji Abdul Rahman Limbong, Sheikh Ibrahim dan Tok Kelam serta pengikut-pengikutnya yang lain meronda sepanjang pantai. Operasi rondaan itu berjalan siang dan malam. Dikatakan ekoran dari itu, British tidak lagi membuat kacau dan semua armadanya berundur. Mengikut laporan angkatan perang British itu nampak ‘beribu-ribu’ pahlawan Terengganu lengkap dengan senjata bersiap sedia untuk melancarkan serangan balas. Sebab itulah mereka cabut lari.



 Makam Tokku Paloh

Demikian kehebatan perjuangan Tokku Paloh yang mempunyai karamah menentang British berhabis-habisan. Beliau berpegang kepada falsafah: Perjuangan tidak kenal hidup atau mati. Dengan benteng iman dan takwa yang kukuh pada diri Tokku Paloh itu, pihak British gagal menjajah Terengganu sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1917, dan diikuti dengan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III pada tahun berikutnya. Perginya ulama dan umara yang berganding bahu dalam pemerintahan.

Sembahyang berimamkan Nabi Khidir a.s

Sekurang-kurangnya dua kali Nabi Khidir a.s. datang berjemaah Subuh di surau Tokku Paloh [sebelah Muzium Negeri Terengganu]. Peristiwa pertama berlaku semasa Tokku Paloh tidak sembahyang berjemaah bersama dengan murid-muridnyanya. Para ahli jemaah mendapati ada orang asing yang berserban jubah menjadi imam pada pagi itu. Selesai sembahyang, orang yang tidak dikenali itu duduk bersandar di tiang hujung di sebelah kanan balai itu sambil berwirid sebelum beliau pergi menghilangkan diri.

Tokku Paloh tahu hal ini, lalu berkata kepada murid-muridnya,
”Kamu tahu siapa yang menjadi imam tadi?”Masing-masing diam dan Tokku Paloh terus berkata, “Beruntunglah kamu, yang menjadi imam itu tadi ialah Nabi Khidir a.s. Dapat pahala besarlah kamu.”
Kali kedua Nabi Khidir a.s. datang berjemaah Subuh di balai itu ketika Tokku Paloh menjadi imam.

Amalan Tareqat dan Syahadat Tukku

Selaku pembawa amalan Tareqat Naqsyabandiah, Tokku Paloh terkenal sebagai orang yang kuat mengamalkan zikir2 yang disusun oleh Syeikh Bahauddin, Syeikhul Tareqat Naqsyabandiah yang susur galurnya sampai kepada Sayidina Abu Bakar As Siddiq [makam Syeikh Bahauddin terdapat di Uzbekistan]. Begitu pula dengan amalan ibadah yang asas seperti sembahyang, puasa dan membaca Al Quran dan amalan sunat yang lain. Dengan kata lain Tokku Paloh sangat warak dan berhalus dalam beribadah.

Selain mengamalkan zikir Tareqat Naqsyabandiah secara istiqamah, Tukku Paloh juga mengamalkan dan mengembangkan amalan yang disusun oleh ayahnya iaitu ‘Syahadat Tokku’. Amalan ini terus popular dan hingga kini masih diamalkan di banyak tempat di negeri Terengganu secara berjemaah dan bersendirian. Syahadat Tukku ini diwariskan kepada murid-muridnya. Pengikut kanan beliau Haji Abdul Rahman Limbong mengembangkan amalan ini kepada murid-murid dan anak cucunya pula. Ini diakui oleh Pak Cik Ali Haji Yusof, cicit Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau berkata, “Saya dapat mengamalkan syahadat ini semasa datuk [menantu Haji Abdul Rahman Limbong] dan ayah saya lagi.”
Menurut beliau, amalan itu masih kekal sebagaimana dilakukan pada zaman Haji Abdul Rahman Limbong iaitu bermula dengan ratib Al Hadad dan diakhiri dengan Syahadat Tokku, sekali-sekala disusuli dengan burdah pula.                                                        

Syahadat Tukku dituduh SESAT!

Amalan Syahadat Tokku ini pernah menjadi kontroversi apabila salah seorang pembawa amalan ini dihadapkan ke mahkamah kerana dituduh sesat. Peristiwa ini berlaku kepada Tuan Hj. Hussein Hj. Mat yang mengembangkan amalan ini di Kampung Gong Ubi Keling, Besut di mana dalam masa yang singkat saja sudah meriah dengan ramai pengikut. Tuan Hj. Hussein tidak menolak kemungkinan tidakan yang dikenakan ke atas dirinya itu didorong oleh iri hati dan hasad dengki orang-orang tertentu kerana surau yang baru beliau bangunkan lebih meriah berbanding dengan surau-surau lain. Mereka mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas beliau atas alasan yang batil dan fitnah.

Mengenang peristiwa pahit yang berlaku pada sekitar tahun1950 itu, Hj. Hussein bercerita :“Hampir seribu orang yang berada di Mahkamah Kadhi Besut untuk mendengar keputusan perbicaraan saya yang dituduh sesat kerana mengamalkan Syahadat Tukku ini.” Orang ramai nampak cemas kerana peristiwa ini besar dan kali pertama berlaku di Besut.

Menurut Hj. Hussein sewaktu perbicaraan, beliau disuruh membaca segala amalan yang diamalkannya selama ini. “Saya pun membaca habis satu persatu bermula dengan ratib Al Hadad, Burdah dan akhirnya Syahadat Tokku. Selesai saya membaca semuanya, Hakim Cik Awing yang juga Kadhi Besut itu berkata ; ‘Apa yang Tuan Hj. baca itu ada pada saya.’“Rupa-rupanya Tuan Hakim Cik Awing juga mengamalkan ratib Al Hadad dan Syahadat Tokku.“Kemudian saya dibebaskan tanpa sebarang tindakan yang dikenakan malah nampaknya tuan hakim itu pula yang seolah-olahnya mengalakkan amalan ini diteruskan. Mendengarkan keputusan yang benar itu maka orang ramai di luar mahkamah turut bersyukur dan ada yang menitiskan air mata gembira,” cerita Hj. Hussein lagi.

Sehingga kini Hj. Hussein terus mengamalkan Syahadat Tokku bersama-sama sahabat-sahabatnya, amalan pada setengah orang jahil dikatakan ‘syahadat tambahan’. Syahadat Tokku yang disusun oleh wali Allah itu terus popular di kalangan orang yang arif di banyak tempat dalam negeri Terengganu. Amalan yang menjelaskan unsur-unsur tauhid dan pembersihan hati yang amat diperlukan oleh seorang hamba terhadap Tuhannya, ALLAH SWT.
Wallahu 'alam.