Mahasiswa Dalam Masyarakat

Mahasiswa suatu ketika dulu dipandang tinggi dalam masyarakat. Andai seorang anak kampung berjaya ke menara gading, seluruh kampung akan merasakan tempiasnya. Akan diadakan kenduri besar-besaran. Seluruh penduduk meraikannya. Penduduk kampung sebelah turut tumpang gembira.

Tapi itu dulu. 10, 20 tahun berlalu. Sekarang mahasiswa sudah dianggap biasa. Tiada bezanya dengan orang kebanyakan. Apa tidaknya mahasiswa zaman ini tidak sehebat mahasiswa dahulu. Kerap kali membuat sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang bergelar mahasiswa.

Soalan cepumas yang sokmo ditanya. Apakah tujuan kita masuk universiti? Memegang title mahasiswa. Adakah untuk mencapai cita-cita sejak kecil? Atau pun sekadar ingin mendapatkan sekeping ijazah? Soalan yang nampak mudah tapi memang sukar dijawab. Aku pun terkial-kial dalam mencari jawapannya.

"Sepatutnya seseorang pelajar patut meletakkan tujuan masuk universiti adalah untuk menyiapkan diri bagi menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Pendek kata, universiti sebagai tempat persedian sebelum berdepan dengan masyarakat."

Jawapan ringkas Dr Syed kepada soalan tersebut ketika usrah baru-baru ni.

Realiti pada masa ini, masyarakat berada dalam satu suasana yang jauh dari Islam. Sebagaimana pengalaman Dr Syed sendiri yang jelas menunjukkan kehancuran sosial dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh kes single parent. Kalau 4 tahun lalu hanya ada satu kes sahaja yang ditemuinya dalam tempoh seminggu tetapi sekarang peningkatan yang amat ketara iaitu secara purata 1 kes sehari. Lagi menyedihkan semua kes single parent melibatkan orang Melayu. ISLAM!!!

Apakah peranan kita sebagai seorang mahasiswa? Sebagai seorang MUSLIM. Allah berfirman:

"Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma'aruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung." (Al-Imran 3:104)

Kesempatan sebagai mahasiswa perlu digunakan sebaik mungkin. Mendapatkan ilmu yang pelbagai. Bukan sekadar belajar yang ilmu formal. Pelajar perubatan dengan ilmu perubatannya. Pelajar farmasi dengan ubatnya. Pelajar kejuruteraan dengan mesinnya. Ilmu agama dan berkaitan akhirat wajib dicari terutama ilmu fardhu ain. Ilmu yang ada bukan setakat untuk diri sendiri sahaja, sebaliknya turut perlu disampaikan kepada orang lain. Moga diri sendiri dan orang sekeliling mendapat manfaat dari ilmu tersebut.

Sama-samalah kita sebagai mahasiswa muhasabah diri. Mampukah kita turun kepada masyarakat dengan ilmu yang kita ada setakat ini. Menyumbang kepada masyarakat yang amat memerlukan kita untuk membawa mereka ke jalan yang benar. Kembali kepada ISLAM. Jika belum mampu, belum terlambat untuk kita berusaha menceduk ilmu di mana-mana sahaja. Mudah. Antara mahu atau tidak je.

~Sekadar Contengan~

Lembaran Baru Kehidupan

2 tahun lalu aku baru bertatih dan merangkak berjuang di "The gate of garden knowledge and virtue". 2 tahun yang panjang. Berbekalkan CGPA yang cukup makan, aku telah mara selangkah lagi ke hadapan. Melepasi gate yang penuh dugaan dan berjaya tiba di "Garden knowledge and virtue".

Taaruf Week menjadi program pertama bagi aku sebagai pelajar baru di Indera Mahkota Campus (IMC). Program wajib sebagai prasyarat untuk mendapat ijazah. 3 hari 2 malam yang mencabar. Penat,mengantuk dengan briefing yang tidak putus-putus. Acara kemuncak Taaruf Week ialah bai'ah session. Secara rasminya aku telah menjadi salah seorang daripada keluarga besar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) setelah melafazkan bai'ah sepanjang 1 muka surat penuh di hadapan Rector UIAM. Fuh. Letih. Dengan diketuai oleh bai'ah leader, saudara Syahid aka tuan presiden, tepat jam 1750 pada 9 Julai 2009 seramai 585 orang pelajar sah menjadi pelajar di IMC. Diharapkan bai'ah yang dilafazkan bukan hanya menjadi lafaz di mulut sebaliknya menjadi panduan selama menjadi warga UIAM. Sekurang-kurangnya.

Sekadar pengenalan ringkas mengenai IMC. Kampus ini baru sahaja dibuka kira-kira 4 tahun (kot). Baru 3 bangunan kuliyyah yang siap iaitu KOM, KOPha (terbaru), KOS bagi course Medicine, Pharmacy & Sciences. Banyak lagi fasiliti masih dalam pembinaan seperti bangunan pentadbiran, masjid terapung dan kompleks sukan. 6 kuliyyah yang wujud di IMC ialah Medicine, Dentistry, Pharmacy, Allied Health Sciences (Diet, Opto, Audio, Radio), Nursing & Sciences (BioMed,BioTech,CTS). Tahun ini mencatat sejarah tersendiri kerana semua pelajar lelaki terpaksa tinggal di mahallah luar IMC iaitu di IM2, kira-kira 15 minit dari IMC. Tiada lagi bangunan 4 tingkat. Tiada lagi 4 orang roomate seperti di CFS. Yang ada hanyalah blok setingkat yang diisi oleh 12 orang. Agak sesak. Tapi syukur. Sekurang-kurangnya masih dapat tinggal di mahallah.

Minggu pertama kuliah dilalui dengan jayanya. 135 pelajar (termasuk CFSians, repeater, foreigner, direct intake) menjadi classmate baruku. Keluarga besar "brethren 13". Sepanjang minggu aku agak blur dalam kelas. Kerap kali lost. Normal. Sejak dulu lagi aku memang agak lambat adapt dengan suasana baru. Tapi aku tetap optimis. Target aku untuk faham sekurang-kurangnya 50% daripada kuliah sebagaimana dinyatakan oleh Dr Khairidzan dalam motivitional talk semalam. Paling lambat minggu ke 3.InsyaAllah.

Aku sedar. Selagi bergelar pelajar, tiada apa yang mampu aku lakukan selain berusaha, berusaha dan terus berusaha di samping doa yang berterusan dipanjatkan kepada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selebihnya berserah kepada yang Esa kerana Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Semoga aku terus tabah dan sabar untuk menempuh segala pancaroba sepanjang di IMC. Ameen...

P/s: Tahniah diucapkan kepada classmate, Ahmad Fikri dan Nur Izaidah yang selamat diijabkabulkan hari ni. Semoga jodoh berkekalan bukan setakat di dunia bahkan hingga ke syurga di akhirat sana. Ameen.InsyaAllah.

Semoga Bahagia di Sana (NABIL)

NABIL. Satu nama yang tidak asing lagi dalam diriku dan sahabat-sahabat di CFS. Seorang abang yang memahami, seorang roomate yang rajin, seorang sahabat yang sejati, seorang classmate yang ceria. 2 tahun mengenali Nabil mencoretkan pelbagai kenangan indah dalam hidupku.

Tahun kedua di CFS, aku berpindah ke bilik baru menjadikan aku roomate kepada Nabil. Setahun bersama, aku mengenali Nabil lebih daripada seorang sahabat. Nabil seoalah-seolah telah menjadi abang kandungku. Banyak perkara dilakukan bersama. Tidur sekatil dan sebantal dikala tengah hari. Kadang-kadang terlajak hingga termiss kuliah. Menyambut hari jadi sahabat-sahabat dengan pelbagai cara yang kreatif. Study last minute bersama ketika musim peperiksaan akhir. Makan malam dan berbuka puasa di E Cafe. Menu 2 pinggan nasi putih dan telur dadar dan berkongsi semangkuk tom yam ayam dan segelas besar air buah. Romantik!

Aku sempat menziarahi Nabil 2 hari sebelum Nabil kembali ke Rahmatullah. Keadaan Nabil tika itu membuatkan hatiku cukup sayu. Nabil terpaksa bernafas dengan menggunakan alat bantuan pernafasan. Tangan kanannya terdapat empat jarum. Kulihat dada Nabil berombak kencang menunjukkan betapa sukarnya Nabil untuk bernafas. Sebenarnya, Nabil tidak diberitahu keadaan sebenar kesihatannya. Yang diketahuinya adalah dia menghidap Aplastic anaemia iaitu kegagalan penghasilan sel darah yang menyebabkan pengurangan bilangan sel darah merah, sel darah putih dan platlet secara serentak. Tidak pula diberitahu kepada Nabil bahawa semua organ dalaman pentingnya telah rosak.

Tiap-tiap kali menziarahinya, pasti diceritakan tentang ketidakpuashatiannya terhadap misi dan doktor. Kebanyakan misi dan doktor masih tidak cekap terutamanya ketika mencucuk tangannya hingga menyebabkan tangan menjadi lebam. Kepada bakal-bakal misi dan doktor, berusaha bersungguh-sungguhlah untuk menjadi misi dan doktor yang cekap kerana kalian akan mengendalikan pesakit yang sedia ada sakit. Usah ditambah kesakitan yang tidak perlu kepada pesakit dengan ketidakcekapan kalian.

Malam Jumaat 2 Julai 2009, aku menerima berita Nabil telah kembali ke Rahmatullah pada jam 2330. Lembik seluruh tubuhku. Aku mahu turut serta ke rumah Nabil di Sekinchan. Melihat jasadnya buat kali terakhir. Sama-sama berdoa untuk Nabil. Sama-sama solat jenazah untuk Nabil. Namun, aku tidak berkemampuan. Hanya doa dan air mataku mengiringi pemergian Nabil.

Syukur Alhamdulillah. Jenazah Nabil diuruskan dengan cepat. Kira-kira pukul 10.42 pagi, upacara pengebumian telah selesai.

"Bersegeralah dalam mengurus jenazah, apabila ia adalah orang yang baik, maka sungguh baik kamu menyegerakan menghantarkannya kepada ALLAH SWT, sedangkan apabila ia adalah orang yang selain itu kamu telah melepaskan perkara yang buruk dari tanggungjawab kamu"
(Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)


Kesudahan Nabil di dunia ini insyaAllah husnul khatimah. Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita mengambil iktibar daripada kejadian yang telah berlaku? Bersediakah kita andai Izrail menjemput kita tika ini? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.

Ya ALLAH! Aku bersyukur kepadaMu kerana meminjamkan kepadaku seorang sahabat yang benar-benar memberi kesan dalam hidupku. Ya ALLAH! Ampunilah segala dosa-dosanya. Tempatkan rohnya bersama para solehin.

Aku pohon dengan rendah diri kepada sesiapa yang membaca entri ini supaya menyedeqahkan al-Fatihah kepada Nabil. Kalau nak membuat tahlil*, amat dialu-alukan. Maafkan segala salah silap Nabil. Jika Nabil berhutang dengan kalian, bolehlah terus menghubungi terus keluarga Nabil.


*Usah bicara tentang bida'ah. Andai tidak mahu melakukannya, cukuplah sekadar menyedeqahkan al-Fatihah dan surah Yaasin kepada Nabil. Tidak perlu melarang orang lain daripada melakukannya.

~Sekadar Contengan~