10 Hari Pertama Zulhijjah

Oleh: Mufti Negeri Terengganu


KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH SEPULUH HARI PERTAMA 

Segala kepujian dan kesyukuran ditujukan kepada Allah Ta’ala, Salawat dan Salam buat Junjungan Nabi Muhammad ‘Alaihis Solatu was Salam dan buat keluarga dan Sahabat Baginda.

Allah Ta'ala berfirman di dalam Surah Al-Fajr, ayat 1-2 yang lebih kurang ertinya:
"Demi waktu Fajar, Demi malam yang sepuluh"

Para Ulamak berselisih pada tafsiran ayat di atas. Al-Imam Assuyuthi di dalam Tafsirnya mengatakan Al-Fajr di daam ayat tersebut membawa erti setiap pagi secara mutlak. Sesetengah ulamak pula mengatakan, pagi hari pertama Zulhijjah, ada yang mengatakan pagi 9 Zulhijjah (Hari Arafah) dan ada yang mengatakan ia memberi isyarat kepada pagi 10 Zulhijjah.

Malam yang sepuluh atau Walayalin Asyr di dalam ayat yang kedua pula mempunyai tiga tafsiran. Sesetengah Ulamak mengatakannya sepuluh malam terakhir Ramadhan. Tafsiran kedua, ia adalah sepuluh malam pertama bulan Muharram. Tasfiran yang ketiga dan masyhur seperti dipersetujui oleh Imam Suyuthi, yang dimaksudkan di sini adalah sepuluh malam pertama bulan Zulhijjah. Pendapat ini juga disebutkan oleh Al-Hafiz Ibn Nasiriddin Addimasyqi As-Syafie.

Sebahagian ulamak salafussoleh menyebutkan, terdapat 3 himpunan sepuluh hari yang dimuliakan oleh Allah iaitu, 10 hari terakhir bulan Ramadhan, 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan 10 hari pertama bulan Muharram. Sebahagian ulamak mengatakan, antara ketiga-tiga himpunan tersebut, 10 hari pertama bulan Zulhijjah adalah yang paling mulia, kerana padanya terdapat Hari Tarwiah (8 Zulhijjah), Hari Arafah (9 Zulhijjah) dan Hari Nahr (10 Zulhijjah), selain ia merupakan penutup kepada Asyhurum Ma'lumat (bulan-bulan yang dimaklumkan untuk melakukan ibadah Haji).

Selain itu, fadilat bulan Zulhijjah ini sebagai salah satu bulan Haram yang mulia tidak perlu disebutkan lagi di sini dan umum patut sudah mengetahuinya.

Oleh itu, wahai saudaraku sekalian, rebutlah peluang untuk mengecas semula bateri keimanan kita yang kian pudar, dan menggarap sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Allah yang Maha Pemurah kepada hamba-Nya dengan memuliakan hari-hari ini. Marilah kita memperbanyakkan lagi amal ibadat kita secara umum dan mempertingkatkan lagi kualiti ibadah yang sedia ada.

 
Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : 


“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. Para Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah ?” . Ujar Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. 



JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA. 

Pertama : Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. 
Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”. 

Kedua : Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah - . 
Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”. 

Ketiga : Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. 
Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik. 

Keempat : Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi). 

Kelima : Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. 

Keenam : Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah. 

Ketujuh : Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih. 

Kelapan : Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”. 
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”.

Kesembilan : Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. u. 

Kesepuluh : Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.


Sumber: Kelebihan Bulan Zulhijjah (10 hari pertama) -sila klik untuk baca artikel lengkap.

~Sekadar Contengan~

1 orang berkata-kata: