Hari itu selepas seminggu beraya dikampung, saya pulang ke Kuala
Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk,saya menyusuri laluan lama. Pekan
pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya
singgah sebentar disebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan
makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul
dihadapan.
"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.
“Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.
Dia
berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20
minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain,
sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu
saja.
"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.
"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.
Dia
beredar, tapi cuma setakat dikaki lima. Sampai disitu, di meletakkan
bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih
saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"
Molek budi
bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalng dia keluar masuk ke
premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan
kasihan dihati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak
nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang
yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.
Selepas membayar
harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu
saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu,
membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan
enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah
senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya. Saya lihat
umurnya lebih kurang 12 tahun.
"Abang dah kenyang, tapi
mungkin Abang perlukan kuih saya untuk adik-adik Abang, ibu atau ayah
Abang" katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia
mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.
Saya
tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul persaan kesian dihati.
Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya
hulurkan padanya.
"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah
abang beli kuih tu," saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan
meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas
mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan
kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya
hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat
kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang
pengemis yang buta kedua-dua matanya.
Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.
"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.
"Kenapa adik berikan duit Abang tadi pada pengemis tu? Duit tu Abang bagi adik!" kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.
"Bang
saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya
mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah
berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit
sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah.
Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!"
katanya begitu lancar.
Saya sebak, sekaligus kagum dengan
pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya
berapa semua harga kuih dalam bakul itu.
"Abang nak beli semua ke?" dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.
"RM25 saja bang."
Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.
|
Gambar hiasan : Ramadhan tidak lengkap tanpa NEKBAT. |
Saya
perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan.Dalam perjalanan ke
Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak
yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang
saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi
kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu
penghormatan.
Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!
Moral :
Satu perjalananan seorang kanak-kanak yang begitu taat kepada perintah Allah s.w.t.Semoga menjadi renungan bersama.
Sumber:
Blog Teh Secawan
~Sekadar Contengan~